Breaking News
recent

Calon SPM Berusia 60 Tahun Mulakan Peperiksaan Kali Keenam

IPOH: Berusia 60 tahun bukan halangan bagi seorang warga emas, Chong Sing Woh menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang merupakan salah seorang daripada 2,667 calon persendirian di Perak.

Beliau yang merupakan seorang pesara sektor swasta berkata tahun ini merupakan kali keenam menduduki enam subjek teras selepas lima kali percubaannya sebelum ini gagal.

"Saya ingin membuktikan kepada orang ramai usia bukan penghalang bagi sesuatu individu itu untuk berjaya dan melepasi halangan dalam kehidupan.

"Walaupun umur sudah tua tetapi saya memegang prinsip 'belajarlah dari buaian sehingga ke liang lahad'," katanya ketika ditemui pemberita selepas menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang di sini, Isnin.

Menurutnya, kegigihan dan kesungguhan untuk terus mencuba melepasi peperiksaan itu wujud selepas rakan sebaya beliau sering memperlekeh taraf pendidikannya.

"Belajar pertamanya untuk dapat ilmu, keduanya untuk baiki diri dan lepas itu berbakti kepada nusa bangsa dan agama. Saya juga ingat kepada kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak malu, saya tidak hairan apa orang kata, kata orang tua belajarlah sampai ke negeri China dan dari buaian hingga ke liang lahad," katanya.

Chong berkata beliau mengulang kaji pelajaran selama dua jam setiap hari bagi memastikan peperiksaan kali ini berjaya dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang Sains Sukan di UPSI.

"Jika percubaan kali ini gagal, saya akan terus mencuba pada tahun hadapan sehingga lulus," katanya yang mempunyai seorang anak berumur 15 tahun.

Beliau mengambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sains, Matematik dan Sejarah.

Sementara itu, Muhammad Safuan Abd Rahman, 17, dari SMK Sultan Tajul Ariffin Manong berkata walaupun terpaksa menerima rawatan lanjut penyakit buah pinggang di KPJ Ipoh Specialist Hospital, beliau tetap menguatkan semangat untuk menduduki peperiksaan itu pada hari ini.

"Saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Kangsar ke hospital sejak lima tahun lepas dan dalam seminggu saya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali.

"Walaupun saya ditahan di dalam wad hari ini untuk menjalani rawatan lanjut tetapi saya yakin saya boleh menjawab soalan peperiksaan Bahasa Melayu dengan baik pada hari ini," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.

Beliau yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu berkata beliau tidak pernah berputus asa, reda dan berusaha untuk terus belajar sehingga mencapai cita-citanya bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB)seperti arwah bapanya.

"Walaupun ada gangguan sebab tidak dapat belajar seperti kawan-kawan yang lain di sekolah, iaitu cuma tiga kali seminggu sahaja belajar di sekolah tetapi saya tetap bersemangat untuk mengambil peperiksaan hari ini.

"Saya tinggal bersama ibu yang bekerja sebagai penoreh getah dan bapa tiri bekerja sebagai pengawal keselamatan. Alhamdulillah, saya mendapat rawatan di hospital ini dengan duit insurans arwah bapa saya dari TNB," katanya sambil menambah beliau juga meminati bidang katering.

Di Perak, seramai 39,102 calon menduduki peperiksaan itu dengan 2,649 petugas telah disediakan bagi memastikan ianya berjalan lancar dari 2 Nov hingga 8 Dis.
Admin Bola

Admin Bola

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.