Breaking News
recent

"Saya Masih Isteri Dia" - Zarina Zainuddin

Lumrah bergelar artis, apabila kembali aktif dalam dunia seni pasti akan ada anggapan sinis seperti 'sudah bercerailah tu!'. Inilah yang sedang dihadapi oleh pelakon Zarina Zainuddin.

Oleh kerana menerima semakin banyak tawaran berlakon, Zarina telah disalah anggap. Justeru, tidak hairanlah apabila baru-baru ini, Zarina memuat naik gambarnya bersama suami.

"Memang betul saya sangat jarang nak letak gambar saya dan suami sebab banyak hati yang perlu saya jaga terutamanya madu saya. Saya dah anggap Datin Seri seperti kakak sendiri, jadi saya tak mahulah jika tersakitkan hati beliau.

"Memang benar, dah 22 tahun kahwin, tak pernah saya bawa Datuk Seri ke majlis-majlis hiburan sampaikan Datuk Seri tanya 'malu ke nak bawa saya?'. Tapi saya jawab bukan malu tapi saya sedar saya berkongsi, jadi saya kena hormat Datin Seri.

"Tapi sekarang ini bila saya aktif berlakon, ada pula yang kata saya dah menjanda. Dan ada juga lelaki-lelaki yang tak tahu fasal kehidupan saya, nak cuba-cuba dengan saya seperti nak ajak keluar dan sebagainya.

"Sebab itulah sesekali saya akan letak gambar saya dan suami. Biar orang yang tak tahu akan tahu saya sudah bersuami, masih ada suami, masih isteri orang," jelasnya.

Zarina turut menjelaskan bahawa tujuan dia tidak terlalu menonjolkan suaminya kerana tidak mahu ada yang menyampah dan mendoakan perkara-perkara yang tidak baik terhadap rumah tangganya.

"Saya memang jenis yang tak suka tayang suami. Cukuplah orang tahu saya dah kahwin. Kalau tayang sangat nanti lama-lama ada pula yang menyampah kan. Saya bukan sorok, siapa tahu maka tahulah, siapa nampak maka nampaklah. Yang penting, rumah tangga kami bahagia," ujar Zarina lagi.

Ditanya mengenai wajahnya tanpa mekap itu?

"Alah, kat rumah biasalah. Saya tak kisah pun. Tapi bila keluar, ya baru kita cantik-cantik," ujarnya sambil ketawa.

Zarina bakal muncul dengan drama Menongkah Kasih dan Bujang Terlajak Senang untuk TV3.

Admin Bola

Admin Bola

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.