Breaking News
recent

Mangsa Dibunuh Kejam Dan Dibakar

Polis berjaya menyelesaikan misteri kehilangan empat individu sejak 2012 dengan menahan empat sekeluarga dalam serbuan di sebuah bengkel di Tapah, Isnin minggu lalu.

Empat mangsa termasuk seorang wanita itu dibunuh kejam sejak sekian lama.

Suspek berusia 57 tahun merupakan seorang mekanik menjadi dalang pembunuhan bersiri empat mangsa dipercayai dibantu oleh anak lelakinya berusia 20 tahun.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, mangsa yang terlibat adalah seorang lelaki yang bekerja sebagai broker tanah dan pekebun berusia 46 tahun yang dilaporkan hilang pada 25 Ogos lalu di Chenderiang.

“Hasil siasatan terdapat laporan orang hilang itu, tangkapan terhadap kedua-dua suspek bersama isterinya berusia 54 tahun dan anak lelakinya berusia 17 tahun dibuat kira-kira jam 1.30 petang.

“Maklumat mendedahkan mangsa telah dibunuh dan dibakar di kawasan bengkel suspek. Abu dan sisa pembakaran telah dibuang dalam sungai yang berhampiran manakala, motosikal mangsa telah ditinggalkan di tepi Jalan Tapah - Cameron Highland,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek turut mendedahkan tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang di Tapah dipercayai dibunuh dengan modus operandi yang sama.

“Mangsa yang terlibat adalah seorang wanita berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pengusaha bas persiaran yang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2014. Seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan turut dilaporkan hilang pada 15 Jun 2014.

“Pekerja suspek membabitkan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai menjadi mangsa kekejaman suspek berikutan turut dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 30 Oktober 2012,” katanya.

Hasnan berkata, sebuah pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, motif pembunuhan adalah membabitkan hutang, gagal urusan penjualan tanah serta masalah pekerja mencuri hak milik majikan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pihak forensik PDRM dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah menjalankan siasatan di tempat kejadian selama dua hari sekitar Tapah pada Jumaat lalu.

“Beberapa sampel tulang telah dijumpai dan dihantar ke HRPB untuk bedah siasat. Proses mengenalpasti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sedang diusahakan,” katanya.

Jelasnya lagi, keempat-empat suspek kini disambung reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Pihaknya tidak menafikan kemungkinan ada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu.

“Suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau dalam kejadian pecah rumah, tipu, curi dan pecah amanah.

“PDRM memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil bagi melicinkan siasatan,” katanya.
Admin Bola

Admin Bola

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.