Breaking News
recent

Bawa Anjing Masuk Restoran Islam, Pengusaha Gerai Diminta Bertindak.

Orang ramai di sekitar kawasan Dengkil kecewa dengan sikap segelintir pengusaha kedai makanan yang tidak sensitif membiarkan pengunjung membawa anjing peliharaan serta meletakkannya di kerusi turut digunakan pelanggan lain.

Bukan sekali mahupun dua, pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, situasi di restoran yang sama pernah diviralkan di laman sosial sebelum ini.

Namun katanya, pekerja kedai makanan terus membiarkan anjing peliharaan dibawa pelanggan bukan Islam dan diletakkan di kerusi meja makan restoran.

Dia berkata, mungkin tidak kisah atau peduli sekiranya restoran menyajikan makanan bukan halal, malangnya restoran tersebut dikunjungi orang Islam yang majoritinya percaya premis menawarkan tempat makan yang suci dan bersih.

“Papan iklan restoran siap bertulis tulisan jawi lagi tapi saya kecewa anjing sewenang-wenangnya dibawa ke premis dan diletakkan di kerusi.

“Meski kerusi dan meja makan itu diletakkan di luar restoran namun kebersihan boleh menimbulkan keraguan kerana berkemungkinan ada titisan embun dan rintik hujan di kerusi yang kemudian diduduki haiwan berkenaan ,”katanya.

Ahmad berkata, dia pernah bertanya kepada pekerja restoran mengapa membiarkan perkara itu berlaku.

Alasan diberi tidak dapat diterima apabila pekerja memberitahu mereka tidak nampak pelanggan membawa anjing tersebut dan memberitahu pelanggan mungkin tidak tahu larangan membawa anjing peliharaan.

“Kalau dah ada larangan, mengapa biarkan pelanggan bawa anjing, haiwan itu turut memanjat di atas meja makan dan menjelir-jelirkan lidah. Saya tengok pelanggan bukan Islam di meja sebelah pun macam takut anjing terlepas dan menuju ke arah anaknya yang masih kecil ,”katanya.

Menurutnya, dia juga kecewa dengan sikap pelanggan bukan Islam yang tidak sensitif dengan perbuatan tersebut.

Justeru, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi peringatan kepada pengusaha restoran terutama dikunjungi pelbagai lapisan kaum dan agama supaya kejadian tidak berulang.

Pengusaha restoran juga di saran meletakkan papan tanda larangan membawa binatang peliharaan di premis makanan dan mengusir pengunjung yang enggan mematuhi arahan tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Puasa Md Taib berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima laporan pengunjung membawa anjing ke dalam sebuah premis makanan.

Beliau berkata, majlis sudah mengambil tindakan sewajarnya mengeluarkan notis penutupan premis kepada pengusaha sebaik aduan diterima.

Pengusaha yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan akan berdepan tindakan penutupan premis atau pembatalan lesen sekiranya membiarkan kesalahan berulang.

“Dalam peraturan memang tak boleh bawa haiwan peliharaan masuk ke dalam premis makanan termasuklah kucing,”katanya.
Admin Bola

Admin Bola

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.